Sunday 1 April 2012

My Beloved Parents...

Assalamualaikum semua...

Annyonghaseyo !!!!

Jam menunjukkan pukul 4:08 pagi, tetapi Diba masih menghadap lappy ni lagi kerana baru bangkit dari tidur. Ermmm, hari ini saya ingin bercerita tentang keluarga saya. 

Keluarga saya hanya sebuah keluarga yang sederhana sahaja tetapi kami hidup dalam bahagia. Saya mempunyai 6 orang adik-beradik dan merupakan anak yang ke-2. Adik-beradik saya terdiri daripada 4 orang perempuan dan 2 orang lelaki. Ayah saya seorang yang garang dan ibu saya seorang yang tenang.

My beloved 'FATHER'


My beloved 'MOTHER'

Saya amat sayangkan mereka berdua kerana telah banyak membantu saya dalam mengejar cita-cita. Mereka juga telah banyak memberikan nasihat walaupun saya sudah penat mendengarnya. Walaupun tidak mahu dengar, tetapi itulah kata-kata azimat yang banyak merangsang saya untuk berfikir dan renungkan kembali. Lantas selepas itu, baru saya tersedar nasihat mereka sangat berguna untuk dijadikan panduan dalam menjalani kehidupan yang penuh pancaroba ini. 

Sebagai seorang anak, kita selalu merasakan yang kita sudah cukup dewasa untuk melakukan semua perkara dengan sendirinya. Tetapi pada hakikatnya, kita masih mentah untuk melakukan semua itu tanpa adanya sebarang bantuan daripada ibu bapa. Setiap yang kita lakukan mesti berpandukan nasihat daripada ibu bapa kita. Jikalau kita tidak mahu mendengar, kita sendiri yang akan mendapat susah. Cuba anda lihat, anak-anak yang sudah berkahwin pun masih mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar daripada ibu bapa. Inikan pula kita yang masih mentah ini, lagilah kena mendengar nasihat mereka.

Seperti contoh : Impian Diba ingin menjadi seorang guru Bahasa Melayu, tetapi ayah suruh menjadi guru Bahasa Inggeris. Buat pengetahuan anda semua, ayah saya yang mengisi borang IPG dan saya hanya perlu mengikut sahaja keputusannya walaupun di dalam hati ini menolak keputusan tersebut 100%. Apabila di rumah, saya memberontak dan menunjukkan protes dengan tidak berkata apa-apa kerana ayah meletakkan pilihan yang pertama adalah TESL, manakala pilihan kedua adalah PENDIDIKAN KHAS. Betapa sedihnya hati ini. Alasan ayah hanya satu, "Sekarang nie, cikgu bahasa Inggeris kurang. Kalau kamu mohon bahasa Melayu, belum tentu dapat kerana cikgu bahasa Melayu dah ramai."

Alhamdulillah, sekarang ini sudah hampir genap setahun saya berada di IPG Kampus Temenggong Ibrahim sebagai seorang guru pelatih dalam opsyen TESL di sini. Tidak saya menjangka yang saya berjaya dalam temu duga tahun lepas. Saya masih ingat lagi, saya menangis selepas di temu duga kerana merasakan jawapan yang saya beri tidak memuaskan hati para penemu duga. Malah saya merasakan yang saya tidak akan mendapat sebarang tawaran dari pihak IPG. Tetapi apa yang berlaku adalah di sebaliknya. Allah itu lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Alhamdulillah...

Anda tahu mengapa? Kerana saya sudah gagal dalam temu duga UPU dalam pemilihan jurusan TESL juga. Walaupun saya yakin yang saya akan berjaya, malangnya saya tidak berjaya mendapatkan tawaran dalam jurusan TESL tetapi saya diberi tawaran dalam jurusan perakaunan. Buat pengetahuan anda semua, saya sudah membuat persediaan lengkap untuk mendaftarkan diri di UiTM Seri Iskandar. Selang sehari berikutnya, saya mendapat tawaran untuk belajar di IPG Kampus Temenggong Ibrahim dalam opsyen TESL. Tidak sama sekali saya jangka tentang hal ini. Memandangkan persiapan sudah siap, saya hanya cuma perlu menukar borang maklumat diri dan borang kesihatan. Itu sahaja. Sangat mudahkan.

Akhir sekali, pesanan buat anda semua, dengarlah nasihat ibu dan bapa kita. Mereka lebih tahu apa yang terbaik untuk anak-anak mereka. Jikalau kita mendengar nasihat mereka, InsyaAllah, kita selamat dunia akhirat kerana hidup kita diberkati dan dirahmati Allah swt. Jadilah anak yang soleh dan solehah....

Hasil coretan : Adibah Farina


No comments:

Post a Comment