Tuesday 10 April 2012

Sedia Terima Kekalahan

Assalamualaikum semua...

Apa khabar, sihat ke???

Hari ini, Diba ingin menulis tentang kekalahan.

Sebelum itu, saya ingin bertanya kepada anda semua. Apakah perasaan anda apabila KALAH di dalam suatu pertandingan? 

Mestilah sedih dan kecewakan.

Di dalam apa jua pertandingan yang kita sertai, sudah semestinya ada pemenang dan ada yang kalah. Itulah adat di dalam sebuah pertandingan. Apabila kita menyertai sesuatu pertandingan, semangat untuk menang itu sudah semestinya wujud. Kemudian, kita mesti akan berusaha sedaya upaya untuk mengejar KEMENANGAN itu. 



Apabila melibatkan kerja berpasukan atau berkumpulan, saya begitu pasti semangat untuk menang itu sangat tinggi kerana ahlinya ramai. Malah, setiap ahli kumpulan itu akan bekerjasama untuk memastikan yang mereka itu akan menang. Atas kerjasama dan komitmen yang diberikan, segala macam cabaran dan rintangan dapat diatasi. Bak kata pepatah " Sebatang lidi dapat dipatahkan tetapi seberkas lidi tiada siapa yang mampu untuk mematahkannya." Selain itu, "Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh." Kedua-dua perumpaan itu membawa maksud yang mendalam sekali. Jikalau anda menghayati dan memahami perumpamaan-perumpamaan tersebut, anda akan mengerti yang kerja berseorangan tidak akan berkesan, tetapi kerja berpasukan sangat berkesan. Hal ini kerana, apabila kita semua bersatu kita akan menjadi kuat dan segala macam cabaran dapat diatasi. Itulah yang dinamakan kerja berpasukan. SUSAH SAMA SUSAH !!! SENANG SAMA SENANG !!! Semuanya kita hadapi bersama. Tidak kiralah apa jua yang berlaku, yang paling penting kita semua bersama, bersatu dan bekerjasama. 

Andai kata anda telah KALAH di dalam suatu pertandingan, janganlah mudah berputus asa. Terimalah kenyataan dengan hati dan minda yang terbuka. Berfikirlah secara POSITIF. Memang telah ditakdirkan yang anda itu telah kalah tetapi pada masa yang sama jangan merasakan yang anda itu telah kalah buat selam-lamanya. Anda perlu berfikir, di lain waktu anda akan mengejar semula kemenangan itu. Yang paling penting anda tidak berputus asa. Saat yang paling manis sekali anda mempunyai kawan-kawan yang sanggup untuk kalah bersama-sama. Mereka sentiasa ada untuk menghadapi segala-galanya dengan anda tidak kira dalam apa jua keadaan pun. Hargailah saat-saat itu.

Akhir kata, ingatlah bahawa MENANG dan KALAH itu adalah adat di dalam suatu pertandingan. Tidak kiralah apa jua keputusannya, terimalah dengan hati yang terbuka. Yang paling penting, anda dapat banyak pengalaman baru dan hargailah kawan-kawan anda yang sanggup bersama-sama di saat susah dan senang.

Jadi orang yang BIJAK !!!!!!! 

Sunday 1 April 2012

My Beloved Parents...

Assalamualaikum semua...

Annyonghaseyo !!!!

Jam menunjukkan pukul 4:08 pagi, tetapi Diba masih menghadap lappy ni lagi kerana baru bangkit dari tidur. Ermmm, hari ini saya ingin bercerita tentang keluarga saya. 

Keluarga saya hanya sebuah keluarga yang sederhana sahaja tetapi kami hidup dalam bahagia. Saya mempunyai 6 orang adik-beradik dan merupakan anak yang ke-2. Adik-beradik saya terdiri daripada 4 orang perempuan dan 2 orang lelaki. Ayah saya seorang yang garang dan ibu saya seorang yang tenang.

My beloved 'FATHER'


My beloved 'MOTHER'

Saya amat sayangkan mereka berdua kerana telah banyak membantu saya dalam mengejar cita-cita. Mereka juga telah banyak memberikan nasihat walaupun saya sudah penat mendengarnya. Walaupun tidak mahu dengar, tetapi itulah kata-kata azimat yang banyak merangsang saya untuk berfikir dan renungkan kembali. Lantas selepas itu, baru saya tersedar nasihat mereka sangat berguna untuk dijadikan panduan dalam menjalani kehidupan yang penuh pancaroba ini. 

Sebagai seorang anak, kita selalu merasakan yang kita sudah cukup dewasa untuk melakukan semua perkara dengan sendirinya. Tetapi pada hakikatnya, kita masih mentah untuk melakukan semua itu tanpa adanya sebarang bantuan daripada ibu bapa. Setiap yang kita lakukan mesti berpandukan nasihat daripada ibu bapa kita. Jikalau kita tidak mahu mendengar, kita sendiri yang akan mendapat susah. Cuba anda lihat, anak-anak yang sudah berkahwin pun masih mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar daripada ibu bapa. Inikan pula kita yang masih mentah ini, lagilah kena mendengar nasihat mereka.

Seperti contoh : Impian Diba ingin menjadi seorang guru Bahasa Melayu, tetapi ayah suruh menjadi guru Bahasa Inggeris. Buat pengetahuan anda semua, ayah saya yang mengisi borang IPG dan saya hanya perlu mengikut sahaja keputusannya walaupun di dalam hati ini menolak keputusan tersebut 100%. Apabila di rumah, saya memberontak dan menunjukkan protes dengan tidak berkata apa-apa kerana ayah meletakkan pilihan yang pertama adalah TESL, manakala pilihan kedua adalah PENDIDIKAN KHAS. Betapa sedihnya hati ini. Alasan ayah hanya satu, "Sekarang nie, cikgu bahasa Inggeris kurang. Kalau kamu mohon bahasa Melayu, belum tentu dapat kerana cikgu bahasa Melayu dah ramai."

Alhamdulillah, sekarang ini sudah hampir genap setahun saya berada di IPG Kampus Temenggong Ibrahim sebagai seorang guru pelatih dalam opsyen TESL di sini. Tidak saya menjangka yang saya berjaya dalam temu duga tahun lepas. Saya masih ingat lagi, saya menangis selepas di temu duga kerana merasakan jawapan yang saya beri tidak memuaskan hati para penemu duga. Malah saya merasakan yang saya tidak akan mendapat sebarang tawaran dari pihak IPG. Tetapi apa yang berlaku adalah di sebaliknya. Allah itu lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Alhamdulillah...

Anda tahu mengapa? Kerana saya sudah gagal dalam temu duga UPU dalam pemilihan jurusan TESL juga. Walaupun saya yakin yang saya akan berjaya, malangnya saya tidak berjaya mendapatkan tawaran dalam jurusan TESL tetapi saya diberi tawaran dalam jurusan perakaunan. Buat pengetahuan anda semua, saya sudah membuat persediaan lengkap untuk mendaftarkan diri di UiTM Seri Iskandar. Selang sehari berikutnya, saya mendapat tawaran untuk belajar di IPG Kampus Temenggong Ibrahim dalam opsyen TESL. Tidak sama sekali saya jangka tentang hal ini. Memandangkan persiapan sudah siap, saya hanya cuma perlu menukar borang maklumat diri dan borang kesihatan. Itu sahaja. Sangat mudahkan.

Akhir sekali, pesanan buat anda semua, dengarlah nasihat ibu dan bapa kita. Mereka lebih tahu apa yang terbaik untuk anak-anak mereka. Jikalau kita mendengar nasihat mereka, InsyaAllah, kita selamat dunia akhirat kerana hidup kita diberkati dan dirahmati Allah swt. Jadilah anak yang soleh dan solehah....

Hasil coretan : Adibah Farina