Friday 22 August 2014

Life Is Not Easy...

Assalamualaikum...

Syukur kepada Allah kerana masih diberikan kesempatan untuk merasai kehidupan ini lagi. Kehidupan yang penuh bermakna untuk dihayati dengan sebaik-baiknya. Kehidupan yang tidak akan menjadikan kita sia-sia walaupun penuh dengan ranjaunya. Kehidupan yang memberi kita tiket untuk ke SyurgaNya. 

Setiap insan mempunyai kehidupannya yang tersendiri. Kehidupan yang sama ada diredhai ataupun tidak, yang penuh dengan warna ataupun tidak, yang diisi atapun tidak. Semuanya bergantung kepada seseorang individu tersebut untuk membuat pilihan ke atas kehidupan yang diinginkannya.



Sejujurnya kehidupan yang ku pilih, bukan kehidupan yang dibentang dengan karpet merah. Tetapi penuh dengan duri. Tidak terlintas di fikiran untuk memilih kehidupan ini. Segalanya bermula tanpa ku duga dan tidak ku mahu pun. Apa yang pasti, perancangan Allah adalah yang terbaik. Ada hikmah di sebalik semua ini.

Pembinaan seorang individu mengambil masa yang tertentu bergantung kepada kekuatan seorang murabbi itu dan juga potensi mutarabbi tersebut. Iya, mulut memang mudah mengatakannya, tetapi adakah anggota badan kita dapat melakukannya? Adakah kita mempunyai kekuatan untuk istiqamah dalam melaksanakannya?

Ragam manusia berbeza-beza. Tindakan dan pergerakannya juga pun berbeza. Memerlukan kekuatan, kemahiran, kepandaian dan juga kreativiti untuk membentuk seseorang individu itu. Ada kaedahnya yang tersendiri dan juga perwatakan kita juga memainkan peranan. 

Ku sendiri masih mujahadah untuk melakukan semua ini. Kadang-kadang air mata ini rasa ingin jatuh mengalir tetapi ku cuba menahannya. Kadang-kadang ku rasa ingin patah ke belakang tetapi ku kuatkan semangat. Kadang-kadang ku rasa tidak ada daya tetapi ku paksa juga diriku. Cuma satu sahaja yang membuatkan aku masih di jalan ini... "Aku tidak mahu menjadi orang yang rugi itu".



Dalam setiap perkara yang dilakukan, niatlah kerana Allah swt. Moga-moga setiap amalan dan tindakan kita bernilai di sisi Allah. Berusahalah, sesungguhnya kehidupan ini hanya sementara sahaja dan bukan tempat untuk kita bersuka-ria. Tetapi untuk mengumpul bekalan ke Akhirat. Wallahuaklam.

No comments:

Post a Comment